Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sunday, August 30, 2009

Tak Kenal Kerna Tak Cinta, Pabila Dah Kenal Pasti Cinta



Bagaikan menanti tetamu istimewa datang ke rumah, segala persiapan yang lebih dari biasa juga akan kita lakukan. Tidak cukup dengan hanya mengemas rumah bahkan membeli perhiasan baru atau membuang habuk-habuk pada siling yang sebelum ini tidak pernah dibuang. Semua ini dilakukan hanya untuk menyambut tetamu istimewa itu. Apatah lagi apabila tetamu istimewa itu telah tiba. Pasti kita akan melayaninya dengan lebih istimewa.

Begitu juga dengan Ramadan. Sepatutnya, ketibaan bulan yang sering kita sebut sebagai tetamu istimewa ini disambut dengan lebih luar biasa, lebih istimewa. Namun, persiapannya berbeza dari perspektif ibadah, tarbiyah. Jika sebelum ini Al-Quran bukanlah setiap hari dibaca disebabkan kesibukan, persiapan menyambut Ramadan membuatkan kita lebih berusaha untuk bukan sahaja membaca malahan mentadabbur Al-Quran setiap hari. Jika sebelum ini jarang sekali untuk kita bersedekah, sekarang bersedekah menjadi antara amalan utama.Dan begitu juga dengan amalan-amalan lain supaya amalan-amalan ini akan terus konsisten dan semakin bertambah ketika Ramadan tiba.

Namun begitu, jika difikirkan kembali, persiapan-persiapan yang dilakukan seperti situasi-situasi di atas hanya akan dilakukan jika kita mengenali dan mencintai tetamu itu. Persoalannya, adakah kita benar-benar mengenali Ramadan yang menyebabkan Ramadan mampu menjadi ‘booster’ bertambahnya amalan, meningkatnya takwa.

Adakah kita benar-benar mengenali Ramadan atau kita hanya mengatahui tanpa menghayatinya?

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterang an yang menjelaskan petunjuk itu dan dan membezakan antara yang benar dan salah….” Surah Al-Baqarah:185

Inilah antara istimewanya Ramadan. Bulan di mana manual-manual perjalanan kita semasa di dunia untuk kembali ke rumah asal kita di syurga diturunkan. Bukan itu sahaja, kitab Injil, Taurat dan Zabur juga diturunkan pada bulan ini. Terbukti kasih Allah kepada hambanya kerana Dia tidak membiarkan kita terkapai-kapai mencari sendiri jalan yang penuh dengan persimpangan. Persoalan pokoknya, adakah kita benar-benar mengikut manual yang ditunjukkan Al-Quran?

Bulan Ramadan ini jugalah di mana kasih Allah pada hambanya mencurah-curah dengan pelbagai anugerah. Pintu neraka ditutup, pintu syurga dibuka seluas-luasnya, syaitan dirantai, pahala amalan berganda-ganda. Bulan ini juga membuktikan betapa cintanya junjungan nabi Muhammad S.A.W kepada kita, umatnya yang tidak pernah kita temui.

Buktinya, adanya Lailatul Qadar.

Rasulullah S.A.W pernah mengadu kepada Allah bahawa umatnya mempunyai jangka umur yang pendek jika dibandingkan dengan umat yang terdahulu. Baginda mengadu lagi bagaimana ibadah umatnya dapat menandingi ibadah umat-umat yang terdahulu di mana jangka hayatnya lebih panjang. Kemudian, dikurniakan Lailatul Qadar kepada umat Nabi Muhammad yang lebih baik dari seribu bulan.

Banyak lagi peristiwa-peristiwa hebat dalam sejarah Islam yang berlaku pada bulan Ramadan. Antaranya ialah:

1. Perang Badar Al-Kubra terjadi
2. Peristiwa Fathul Makkah
3. Perjalanan Nabi Muhammad dan Muslimin ke Tabuk melawan Rom
4. Islam sampai ke Yaman
5. Khalid Al-Walid meruntuhkan berhala Al-Uzza
6. Penyerahandiri penduduk Taif kepada Rasulullah
7. Pembukaan Andalus (Sepanyol) oleh Tariq Ziyad
8. Tentera Islam pimpinan SultanQutuz mengalahkan tentera Monggol di Ain Jalut

Pepatah Melayu ‘tak kenal maka tak cinta’ terbukti di sini. Apakah erti Ramadan bagi kita? Adakah ia sama sahaja dengan bulan-bulan lain? Atau benarkah ungkapan ‘kedatanganmu dinanti, pemergianmu ditangisi’ benar-benar tersemat dalam diri?

Semoga kita semua termasuk dalam golongan manusia yang beroleh keuntungan hasil dari kehebatan Ramadan ini.

Selamat menjalani ibadah RAMADAN.

Oleh:
Abdul Kadir Ibrahim
TPSM JDB


Sumber: JIM Daerah Batu


No comments: