Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sunday, August 30, 2009

Tak Kenal Kerna Tak Cinta, Pabila Dah Kenal Pasti Cinta



Bagaikan menanti tetamu istimewa datang ke rumah, segala persiapan yang lebih dari biasa juga akan kita lakukan. Tidak cukup dengan hanya mengemas rumah bahkan membeli perhiasan baru atau membuang habuk-habuk pada siling yang sebelum ini tidak pernah dibuang. Semua ini dilakukan hanya untuk menyambut tetamu istimewa itu. Apatah lagi apabila tetamu istimewa itu telah tiba. Pasti kita akan melayaninya dengan lebih istimewa.

Begitu juga dengan Ramadan. Sepatutnya, ketibaan bulan yang sering kita sebut sebagai tetamu istimewa ini disambut dengan lebih luar biasa, lebih istimewa. Namun, persiapannya berbeza dari perspektif ibadah, tarbiyah. Jika sebelum ini Al-Quran bukanlah setiap hari dibaca disebabkan kesibukan, persiapan menyambut Ramadan membuatkan kita lebih berusaha untuk bukan sahaja membaca malahan mentadabbur Al-Quran setiap hari. Jika sebelum ini jarang sekali untuk kita bersedekah, sekarang bersedekah menjadi antara amalan utama.Dan begitu juga dengan amalan-amalan lain supaya amalan-amalan ini akan terus konsisten dan semakin bertambah ketika Ramadan tiba.

Namun begitu, jika difikirkan kembali, persiapan-persiapan yang dilakukan seperti situasi-situasi di atas hanya akan dilakukan jika kita mengenali dan mencintai tetamu itu. Persoalannya, adakah kita benar-benar mengenali Ramadan yang menyebabkan Ramadan mampu menjadi ‘booster’ bertambahnya amalan, meningkatnya takwa.

Adakah kita benar-benar mengenali Ramadan atau kita hanya mengatahui tanpa menghayatinya?

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterang an yang menjelaskan petunjuk itu dan dan membezakan antara yang benar dan salah….” Surah Al-Baqarah:185

Inilah antara istimewanya Ramadan. Bulan di mana manual-manual perjalanan kita semasa di dunia untuk kembali ke rumah asal kita di syurga diturunkan. Bukan itu sahaja, kitab Injil, Taurat dan Zabur juga diturunkan pada bulan ini. Terbukti kasih Allah kepada hambanya kerana Dia tidak membiarkan kita terkapai-kapai mencari sendiri jalan yang penuh dengan persimpangan. Persoalan pokoknya, adakah kita benar-benar mengikut manual yang ditunjukkan Al-Quran?

Bulan Ramadan ini jugalah di mana kasih Allah pada hambanya mencurah-curah dengan pelbagai anugerah. Pintu neraka ditutup, pintu syurga dibuka seluas-luasnya, syaitan dirantai, pahala amalan berganda-ganda. Bulan ini juga membuktikan betapa cintanya junjungan nabi Muhammad S.A.W kepada kita, umatnya yang tidak pernah kita temui.

Buktinya, adanya Lailatul Qadar.

Rasulullah S.A.W pernah mengadu kepada Allah bahawa umatnya mempunyai jangka umur yang pendek jika dibandingkan dengan umat yang terdahulu. Baginda mengadu lagi bagaimana ibadah umatnya dapat menandingi ibadah umat-umat yang terdahulu di mana jangka hayatnya lebih panjang. Kemudian, dikurniakan Lailatul Qadar kepada umat Nabi Muhammad yang lebih baik dari seribu bulan.

Banyak lagi peristiwa-peristiwa hebat dalam sejarah Islam yang berlaku pada bulan Ramadan. Antaranya ialah:

1. Perang Badar Al-Kubra terjadi
2. Peristiwa Fathul Makkah
3. Perjalanan Nabi Muhammad dan Muslimin ke Tabuk melawan Rom
4. Islam sampai ke Yaman
5. Khalid Al-Walid meruntuhkan berhala Al-Uzza
6. Penyerahandiri penduduk Taif kepada Rasulullah
7. Pembukaan Andalus (Sepanyol) oleh Tariq Ziyad
8. Tentera Islam pimpinan SultanQutuz mengalahkan tentera Monggol di Ain Jalut

Pepatah Melayu ‘tak kenal maka tak cinta’ terbukti di sini. Apakah erti Ramadan bagi kita? Adakah ia sama sahaja dengan bulan-bulan lain? Atau benarkah ungkapan ‘kedatanganmu dinanti, pemergianmu ditangisi’ benar-benar tersemat dalam diri?

Semoga kita semua termasuk dalam golongan manusia yang beroleh keuntungan hasil dari kehebatan Ramadan ini.

Selamat menjalani ibadah RAMADAN.

Oleh:
Abdul Kadir Ibrahim
TPSM JDB


Sumber: JIM Daerah Batu


Undangan Iftar KBM KL


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Kepada: semua fasilitator dan pengendali dari team KBM KL


[Klik gambar untuk image lebih jelas]

Amalan Sedeqah di Bulan Ramadhan




Firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Hasyr: 9

“…Mereka mengutamakan orang lain meskipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung.”

Amalan sedekah di bulan Ramadhan amat dituntut dan mendapat ganjaran berlipat ganda daripada Allah S.W.T. Amalan sedekah boleh dilakukan dengan menjamu orang berbuka puasa , memberi makanan untuk bersahur dan sebagainya. Kita juga boleh bersedekah dengan wang ringgit dan harta-benda kepada mereka yang memerlukan dan ini akan meringankan beban mereka di bulan Ramadhan ini.

Islam menganjurkan umatnya hidup tolong-menolong dan bantu-membantu terutama kepada mereka yang lemah, daif atau susah seperti berikut:

1. Mereka yang kehilangan tempat bergantung saperti anak yatim, janda-janda atau ibu tunggal, fakir miskin dan sebagainya;

2. Mereka yang hilang upaya kerja akibat dari kesihatan dan kecacatan diri samada takdir kelahiran (insan istimewa) atau kemalangan. Mereka mungkin memerlukanpembedaha n, peralatan bantu diri atau pembiayaian kos perubatan serta nafkah hidup;

3. Untuk membina pusat pengajian, madrasah, masjid, rumah anak yatim, janda, fakir miskin dan sebagainya;

4. Mereka yang ditimpa musibah saperti kebakaran, kemalangan, bencana alam dan sebagainya.

Bulan Ramadhan memberi kita banyak peluang untuk bersedekah dan berderma. Seterusnya, ia memberi peluang kita menjadi seorang yang pemurah dan berakhlak mulia. Semoga kita semua mengambil menafaat dan pengajaran dari bulan Ramadhan yang mulia ini.

Allahu’alam.

Oleh:
Faiz Abdullah
PSU JDB



Sumber: JIM Daerah Batu

Tuesday, August 25, 2009

Majlis Berbuka Puasa JIM Daerah Batu




Assalamualaikum

Salam Ramadhan Kareem

Saya bagi pihak JK JIM
Daerah batu dengan segala hormatnya menjemput Tuan/Puan/Sdra/Sdri dan Keluarga
ke

Majlis Berbuka Puasa JIM Daerah Batu

pada hari

Ahad
16 Ramadhan 1430H
6 September 2009


bertempat di

Sekolah Al-Amin Gombak

Majlis bermula jam 6.30 petang dengan Tazkirah Ramadhan,
seterusnya berbuka puasa, solat Maghrib, makan malam, solat Isyak, dan berakhir
dengan solat tarawih.

Sama-samalah kita meraikan majlis ini.

Wassalam.

Hj. Omar Ismail
YDJ JIM BATU 2007-2009



Mari Berinfak di Bulan Ramadhan!!!

Majlis Berbuka Puasa Hidayah Center






Rayuan Ramadhan



Mari beramai-ramai menyumbang untuk saudara-saudara kita di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini!!!

Wednesday, August 19, 2009

Remembrance of al-Quds!!!




AYUH SEMUA!!!

warnakan lokaliti anda dengan warna hitam
bersama-sama kita memakai pakaian

HITAM

pada

21 Ogos 2009

bersempena

HARI AL-QUDS SEDUNIA

Sebagai tanda bantahan kita terhadap

60 TAHUN

penderitaan ummat palestin


TUNJUKKAN SOKONGAN ANDA!!!




Hari al Aqsa 21 Ogos 1969

(Remembrance of al-Quds)

Hari al-Aqsa disambut secara rasmi oleh kerajaan Malaysia pada 21 Ogos setiap tahun. Apakah latarbelakang atau peristiwa yang melatari 21 Ogos sehingga tarikh itu dipilih sebagai hari al-Aqsa? Rencana ini akan melihat secara retrospek apakah signifikannya 21 Ogos yang pernah diraikan secara rasmi oleh kerajaan dan rakyat Malaysia terutama pada tahun-tahun 70’an dan awal 80’an.

Sebagaimana yang kita sedia maklum Malaysia adalah antara negara yang sangat vokal di dalam menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin semenjak berlakunya pengusiran penduduk Palestin dari tanah air mereka pada tahun 1948 dengan berdirinya negara haram Israel dan pencerobohan ke atas Masjid al- Aqsa serta penaklukan Baitul Maqdis dan Tebing Barat pada tahun 1967 oleh regim Zionis Israel. Malah sebelum dan sejurus mencapai kemerdekaan lagi negara Malaysia telah mempamirkan rekod keprihatinan yang amat membanggakan di dalam perjuangan membela rakyat Palestin meski tanah air sendiri masih lagi bergelut dengan pelbagai masalah dalaman dan luaran, termasuklah gugatan Malayan Union, ancaman Komunis, dan kebangkitan untuk mencapai kemerdekaan dari penjajahan British. Sejarah telah membuktikan bahawa seorang tokoh pejuang kemerdekaan yang tersohor iaitu Ustaz Abu Bakar al Baqir telah menggerakkan satu inisiatif yang diberi nama MATA (Majlis Agama Tinggi) pada tahun 1947 yang antara lain turut memberi tumpuan kepada isu-isu antarabangsa umat Islam khususnya pejuangan rakyat Palestin dan Pattani yang tertindas. Di samping itu perbahasan dalam Dewan Rakyat juga telah merakamkan penegasan prinsip yang digariskan oleh Professor Zulkifli Muhammad di dalam menentukan sikap terhadap pengiktiran entiti zionis Israel. Prof Zulkifli Mohamed mempersoal asas Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu ketika itu yang mengiktiraf negara Israel atas alasan ianya lahir dari ketetapan PBB 181 yang diterima pada tahun 1947 dengan sempadan yang terbentuk oleh The Rhodes armistice pada tahun 1949. Walaupun kerajaan Perikatan memberi justifikasi pengiktirafan itu tidak bermakna Persekutuan Tanah Melayu akan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel, pengiktirafan itu sendiri sudah cukup untuk memberi dokongan moral kepada entiti haram Israel. Tidak bermakna PBB mengakui negara Israel maka kita tidak punya pilihan dan terpaksa turut mengiktiraf sebuah negara yang didirikan dengan menafikan hak rakyat asal Palestin, meskipun proses pengiktirafan itu dibuat melalui badan dunia tersebut.

Untuk mengukuhkan hujah-hujahnya, Profesor Zulkifli Muhammad meletakkan persoalan asas berdirinya negara Israel itu. Apakah ia mempunyai hak untuk menubuhkan negara ‘Zionis’ di atas wilayah Palestin. Meskipun ia sudah tertubuh dan diakui oleh PBB, itu tidak menjawab soalan samada ia mempunyai hak atau sebaliknya. Bagaimana mungkin satu bangsa mengambil alih sebuah negara dari penduduk asalnya dan mendakwa ia berhak untuk mendirikan negara Israel di sana. Oleh itu, hujah beliau “…dengan tidak adanya hak asasi yang kuat (untuk penubuhan negara Israel), maka tidaklah adanya keadaan (de facto) itu membolehkan kita dengan sendirnya menganggap negara itu sah.”

Pada persidangan PBB pada tahun 1964, Malaysia melalui inisiatif sendiri telah mengemukakan deraf resolusi (A SPC/L. 116) yang menggesa supaya suatu wakil rasmi (custodian) dilantik bagi pengurus hartanah pelarian di bumi Palestin yang terjajah. Wakil Malaysia berhujah bahawa tuntutan ini adalah selari dengan hak asasi di mana tidak ada sebab kenapa rakyat Palestin yang terusir tidak punya hak untuk menguruskan hartanah (samada rumah dan tanah) yang mana mereka dipaksa keluar oleh penjajah Israel. Menafikan hak rakyat Palestin dalam hal ini adalah merupakan satu diskrimasi agama dan kaum yang bertentangan dengan Piagam PBB dan prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa. Sebagaimana yang diduga deraf ini ditentang oleh Israel. Dalam mempertahankan tuntutan tersebut, wakil Malaysia menegaskan bahawa ’persoalan kedaulatan Israel wajib dilihat dalam konteks prinsip-prinsip antarabangsa dan tanggungjawab yang diletakkan di atas entiti tersebut ketika ianya dilahirkan oleh resolusi PBB. Jika Israel enggan untuk melaksanakan tuntutan ini maka adalah menjadi tanggungjawab Persidangan Agung PBB memaksa Israel melakukannya.’

Pada bulan April 1969, atas inisiatif Kuala Lumpur, 23 buah negara Islam bertemu di ibu negara di dalam Konferens Islam Antarabangsa. Konferens ini meluluskan beberapa resolusi iaitu (1) mengutuk Israel kerana merampas wilayah Arab dan Palestin termasuk Baitul Maqdis Timur dalam pencerobohan pada tahun 1967, dan (2) menggesa negara-negara Islam mengadakan sidang kemuncak bagi menangangi keadaan yang amat genting natijah dari pencerobohan Israel dan kesannya ke atas Baitul Maqdis dari pelbagai aspek.
Inisiatif yang dimulakan oleh Kuala Lumpur ini boleh dianggap sebagai langkah awal ke arah penubuhan OIC (Organization of Islamic Conference).

Kemudian satu peristiwa yang amat mengguris hati umat Islam di seluruh dunia berlaku pada 21 Ogos 1969 apabila seorang pelampau Yahudi telah membakar Masjid al Aqsa. Kesan dari pembakaran ini menyebabkan kemusnahan yang besar dan kerugian yang tidak dapat ditaksir dengan wang ringgit. Selain dari beberapa peninggalan sejarah yang tidak ternilai musnah dijilat api seperti mimbar yang telah digunakan oleh Salahuddin al-Ayyubi sejak 700 tahun yang lalu, lebih penting lagi umat Islam merasa tercabar kerana Masjid ketiga paling suci dalam akidah umat Islam cuba dimusnahkan oleh tangan-tangan jahat zionis yang telah lama menyusun strategi untuk merobohkan Masjid al-Aqsa dan merampas tapak masjid untuk mendirikan rumah ibadat mereka (Haikal Sulaiman). Perbuatan pelampau Yahudi yang bernama Michael Dennis Rohan berbangsa Australia ini bukanlah satu perbuatan persendirian yang terpencil. Malah ia merupakan satu konspirasi yang dirancang sebegitu rapi oleh ketua-ketua agama Yahudi yang fanatik dan pendatang Yahudi yang bersekongkol dengan regim zionis untuk mengancam dan memusnahkan Masjid al Aqsa. Konspirasi ini amat jelas apabila penduduk Arab yang berada berhampiran masjid dibiarkan untuk memadamkan api yang sedang marak dengan menimba air dan memadamkan sendiri kebakaran dengan bantuan dari perkhidmatan bomba Jordan dari Ramallah, al-Khalil dan Nablus tanpa sebarang bantuan dari pehak berkuasa Israel. Michael Dennis dibicarakan atas percubaan membakar al Aqsa, tetapi diputuskan oleh mahkamah sebagai tidak siuman. Kejadian ini mengingatkan kita kepada pembunuhan yang berlaku di masjid Ibrahimi (Hebron) beberapa tahun lalu. Pelampau zionis ini juga dibicarakan dan mahkamah Israel memutuskan beliau juga tidak siuman. Samada Michael Dennis siuman atau tidak yang pasti satu laporan rasmi yang diterbitkan dalam akhbar Yediot Aharanot bahawa kuil Yahudi akan didirikan di tapak Masjid al-Aqsa pada 21 Ogos 1969 dan laporan itu terbit pada 18 Ogos, tiga hari sebelum berlakunya kejadian pembakaran ke atas Masjid al Aqsa.

Tindakan jahat ini telah mencetuskan satu inisiatif yang digerakkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj (mantan Perdana Menteri Malaysia), Raja Faisal Arab Saudi dan Raja Hassan II, Maghribi untuk mengadakan sidang kemuncak negara Islam di Rabat dari 22 hingga 25 September 1969. Sidang kemuncak ini memutuskan resolusi untuk menyatukan seluruh negara-negara Islam ke arah memastikan pengunduran Israel dari wilayah Palestin yang diduduki natijah dari perang 1967. Satu resolusi juga menegaskan bahawa sebarang penyelesaian Palestin yang tidak menjamin kedudukan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin sebagaimana statusnya sebelum tahun 1967 akan ditolak oleh negara-negara Islam. Sehubungan dengan itu sebuah sekretariat ditubuhkan di Jeddah dan Setiausaha Agung (Sekretary General) yang pertama diberi kepercayaan dan penghormatan ialah YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Dengan ini rasmilah penubuhan OIC seperti yang diketahui pada hari ini.

Sebaik selesai sahaja sidang kemuncak di Rabat, YTM Tunku Abdul Rahman bergegas ke Persidangan Agung PBB pada 7 Oktober 1969 sebagai mewakili ketua-ketua negara Islam bagi menegaskan semula kedudukan isu Palestin. Persoalan Palestin yang telah dikeluarkan dari agenda Persidangan PBB sejak tahun 1952 telah kembali diiktiraf oleh PBB hasil dari desakan dan aspirasi ketua-ketua negara Islam yang diungkapkan dengan penuh meyakinkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman di dalam persidangan PBB sesi yang ke 23 tersebut Persidangan Agung PBB kemudiannya merubah perspektif mereka terhadap isu Palestin dengan mengiktiraf rakyat Palestin sebagai penduduk yang mempunyai hak di bawah Piagam PBB. Kedudukan rakyat Palestin yang terusir dari tanah air mereka dan hak mereka yang tidak boleh diganggu gugat ini terjamin di bawah Resolusi PBB 2535B (XXIV) yang diterima oleh Persidangan Agung PBB pada 10 Disember 1969. Sumbangan dari YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj wajar dirakamkan sebagai batu tanda yang penting dalam perjuangan umat Islam di persada antarabangsa dalam isu pembelaan ke atas rakyat Palestin.


Ikrar dan tekad yang disuarakan sejak sidang kemuncak Rabat pada tahun 1969 terus dihayati oleh kerajaan Malaysia dan rakyatnya sejak 21 Ogos 1969 sebagai Hari al-Aqsa ataupun kini dikenali dengan lebih populor sebagai ROQ (Remembrance of al Quds). Demi memperbaharui komitmen Malaysia terhadap hari al-Aqsa maka setem-setem memperingati tarikh penting ini telah dikeluarkan pada tahun 21 Ogos 1978 dan sekali lagi pada tarikh yang sama pada tahun 1982. Berdasarkan kepada rekod sokongan dan solidariti rakyat Malaysia yang amat membanggakan ini maka adalah wajar bagi kerajaan Malaysia menghidupkan kembali hari al-Aqsa pada hari ini. Pengistiharan melalui pengumuman di dalam media massa cetak dan elektronik adalah suatu yang boleh menyemarakkan semula hari al-Quds. Dengan cara ini maka kesedaran rakyat Malaysia untuk membantu rakyat Palestin yang terus terjajah dan tertindas terutama dengan kepungan dan serangan biadap yang berlaku ke atas Gaza awal tahun ini akan terus bersemarak. Ia juga akan membangkitkan kesedaran dan dhamir umat Islam untuk membantu saudara-saudaranya di Palestin terutama dengan kehadiran bulan Ramadhan al-Mubarak yang penuh keberkatan yang kebetulan jatuhnya pada tarikh yang sama pada tahun ini.

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE
(Pusat Kecemerlangan Palestin)
Menjelang 21 Ogos 2009