Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Saturday, May 16, 2009

Selamat Hari Guru!



(Istimewa buat insan-insan yang bergelar guru)


Guru Oh Guru...


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum manjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Oleh: Usman Awang


TERIMA KASIH

SYUKRAN JAZILAN

BARAKALLAH 'ALAYKUM


KY: pertama kali menyambut hari guru sebagai seorang guru...

Perancang Terbaik


Salam perjuangan buat semua ikhwah dan akhwat yang berziarah ke teratak K-IIC ini. Moga hari-hari yang dilalui antum bertambah baik dari yang sebelumnya dan antum sendiri kian menyerlah jauh dari yang biasa!

Ikhwah dan akhwat yang dihormati...
Sedarkah kita bahawa setiap saat dalam kehidupan kita ini adalah ujian? Ujian dan kehidupan ini adalah perancangan Allah yang mengetahui segala rahsia, dan Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Ikhwah dan akhwat yang dikasihi sekalian...
Ana ingin membawakan satu kisah dari beberapa kisah dalam buku "U-TURN Ke Jalan Lurus" tulisan Ustaz Zul Ramli M.Razali, terbitan Galeri Ilmu.

Kisah ini mengenai seorang pemecah batu yang menghabiskan waktu siangnya memecah batu-batu pejal di sebuah bukit. Seluruh tubuhnya bermandi keringat disulami omelan dan dengusan kecil. Di bawah terik sang mentari, dia melihat kepada sang mentari sambil tangannya memegang penukul besi. Dia berkata kepada dirinya sendiri, "Alangkah baiknya kalau aku diciptakan sebagai matahari yang besar, hebat, tinggi penuh megah. Boleh melimpahkan cahaya dan membakar sesiapa yang aku suka." Dia terus memandang sang mentari dengan penuh kagum.

Sedang dia asyik berfikir tiba-tiba suasana mejadi redup. Dia mendongak dan melihat ada gumpalan awan besar sedang menutupi matahari. "Wah, awan lebih hebat rupanya! Ia boleh mengatasi terik cahaya matahari." Dia mula berfikir betapa malang nasib dirinya dan betapa bertuahnya awan. Matanya leka mengekori awan yang berarak megah. Tiba-tiba awan tersebut terserak dan pecah bila membelah bukit tinggi. "Wah, bukit rupanya lebih hebat lagi! Ia boleh memecahkan gumpalan awan." Dia mula berfikir untuk menjadi bukit yang gagah tersergam. "Malangnya nasib diriku dan alangkah baik andai aku menjadi bukit yang berjaya mengalahkan awan dan menumpaskan matahari." omelnya sendiri.

Tiba-tiba dia tersedar sesuatu yang dia tidak perasan selama ini. Mukanya bercahaya dan matanya berkaca-kaca. Rupa-rupanya bukit yang tersergam gagah ini tewas kepada seorang pemecah batu. "Dan pemecah batu itu ialah aku!" Dan penuh bertenaga, dia melaungkan, "Aku sebenarnya yang lebih hebat daripada bukit, lebih gagah daripada awan, lebih kuat daripada matahari. Aku hanya perlu besyukur atas apa yang telah dicipakan Allah untukku." Kemudian dia terus menghentak batu dengan penuh bangga dan rasa syukur.



Ikhwah akwat yang dimuliakan...
Mungkin dalam melalui kehidupan seharian, kita sering mempersoalkan mengapa kita diletakkan dalam situasi yang merumitkan. Jika kita seorang ketua di tempat kerja, tatkala diuji dengan karenah orang bawahan yang membuatkan hati membara mungkin pernah terlintas persoalan, "Mengapa aku kena berhadapan dengan orang-orang macam ni? Buat sakit kepala dan hati je!" Namun, jika kita perhatikan rahsia di sebalik perancangan Allah itu begitu indah! Sebenarnya Allah sedang melatih kita untuk menjadi seorang pemimpin yang bijak mengawal segalanya termasuk emosi dan psikologi. Ini juga latihan Allah untuk menjadikan kita seorang da'ie yang hebat. Bukankah tugas sebagai da'ie itu jauh lebih mencabar dari menjadi seorang ketua di tempat kerja? Inilah latihan dan persediaan awal yang diberikan Allah untuk kita sebelum kita menghadapi situasi yang lebih berat dan besar. Dan inilah juga peluang dan kesempatan untuk kita menjalankan tugas sebagai seorang da'ie dan mengaplikasikan segala teori dalam dakwah fardiah. Betapa bijaknya Dia bukan?



Sedarkah kita bahawa dalam diberikan ujian, Allah juga sedang melatih hati kita untuk mejadi lebih sabar dan kuat. Sebagai ketua atau pemimpin bahkan setiap orang pastinya tidak dapat memuaskan setiap hati orang lain. Apatah lagi sebagai orang yang berada di atas, kita tidak dapat lari dari kritikan, kejian malah umpatan. Pujuklah hati agar bersabar. Berlapang dadalah dan ambil setiap kritikan dan teguran itu sebagai satu perkara yang positif. Janganlah cepat melatah. Ambillah resam pokok yang berbuah lebat. Biarpun dibaling dengan batu, namun tetap dibalas dengan buah. Nah, Allah sedang memberi peluang seluas-luasnya untuk kita merebut pahala sabar! Apa lagi yang kita tunggu? Rebutlah!!!

Rahsia di sebalik perancangan Allah ini juga sama bagi mereka yang sering mengeluh tatkala diri berada dalam sebuah keluarga yang punya konflik berat, ataupun bagi mereka yang berada dalam sebuah keluarga yang tiada tarbiyyah atau tiada kefahaman Islam yang baik. Usah mengeluh dan berdukacita. Ingatlah, Allah adalah sebaik-baik perancang. Fahamilah dengan hati rahsia di sebalik setiap perancanganNya, kelak hati akan merasa bahagia..



"Bersabarlah dengan sebaik-baik kesabaran..."
[al-Ma'arij:5]



Hati ialah tempat letaknya kefahaman. Andai akal memahami tetapi kefahaman itu tidak meresap ke dalam hati, pastinya ia tidak akan terlahir melalui tingkah. Bukankah hati itu raja di kerajaan diri? Fikir-fikirkanlah...

KY: Indahnya hidup andai hati memahami setiap rahsia di sebalik perancangan Allah... Dialah sebaik-baik perancang...